Wednesday, February 9, 2011

Indahnya hidup di bawah Islam


Saban tahun dunia kampus akan bersilih ganti pucuk kepimpinan, dalam tempoh masa setahun itulah mahasiswa akan dilatih untuk diasah bakatnya masing-masing dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Pemilihan ini dibuat berdasarkan kecerdikan dan kebijaksanaan seseorang individu atau sesuatu kumpulan dalam hendak menguasai atau menjuarai isu kampus dan isu mahasiswa, sekiranya individu tersebut mampu untuk membawa perubahan kepada daya intelek mahasiswa maka amat mudah untuk meraih kemenangan dalam Pilihanraya Kampus.

Cuba kita mengimbas kembali di zaman kegemilangan mahasiswa pada tahun 70-an hingga 90-an, rata-rata mahasiswa ketika itu mahukan perubahan yang drastik dan cuba mengubah suasana kampus yang ketika itu dipenuhi dengan unsur-unsur sekularisme dan librealisme kepada suasana Islam yang di mana sekiranya Islam memerintah kampus maka segala unsur-unsur kurang sihat ini akan dibuang. Bukan bermakna bila Islam memerintah, segala kebajikan orang bukan Islam akan terabai dan segala bentuk program non-muslim akan disekat dan ditolak tetapi Islam ada cara yang indah untuk mengatasi masalah ini.

Sebagai contoh, di zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w., Kota Madinah Al-Munawarah lebih dikenali sebagai kota yang mampu menghimpunkan masyarakat majmuk di dalamnya yang terdiri daripada berpuluh-puluh bangsa Yahudi, nasrani dan lain-lain. Pemerintahan Kota Madinah yang didasarkan dengan Islam mampu menjadikan hukum Islam (hukum Quran) diterima pakai oleh masyarakat majmuk Madinah.