Seandainya kita berada di syurga, di manakah tempat yang layak kita duduki? Untuk menjawab soalan itu elok kita teliti dengan cermat, cukupkah kiranya amal saleh yang kita lakukan sepanjang hidup ini? Pernahkah anda merasa iri hati melihat orang lain lebih banyak beramal ibadat berbanding diri anda? Umpama menikmati cahaya bulan pada malam yang cerah, ia sungguh indah, namun tidak boleh dicapai.
Begitulah kiranya kedudukan orang-orang yang berada di syurga tertinggi. Mereka yang berada di bawah tentu menyesal, mengapa di dunia dahulu dia tidak beramal seperti amalan sahabatnya yang berada di atas sana. Dengan iman manusia mencapai puncak ketinggian. Iman itulah yang menentukan status dan gelaran mereka di dalam syurga. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni syurga melihat para penghuni yang berada di atas tingkat mereka bagaikan melihat bulan di langit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).