Apabila seorang wanita dinikahi maka keutamaan baginya ialah mentaati suaminya tanpa berbelah bagi selagi mana suaminya tidak menyuruhnya melakukan kemungkaran terhadap Allah SWT.
Mentaati suami perlu diutamakan tanpa menafikan kewajipan mentaati kedua-dua ibu bapa. Tidak kira ibu bapa itu daripada pihak suami mahupun daripada pihak isteri.
Berkahwin bukan sekadar mengikat tali hubungan antara seorang lelaki dan perempuan malah perkahwinan itu ialah jambatan bagi membina persaudaraan antara keluarga lelaki dan perempuan.
Sebenarnya tidak timbul soalan siapa yang perlu diutamakan jika kedua-dua belah pihak memahami bahawa keluarga isteri adalah keluarga suami juga, dan keluarga suami adalah keluarga isteri.
Ketaatan seorang isteri kepada suaminya adalah perintah Allah SWT. Dalam hadis Baginda Rasulullah SAW ada menegaskan yang bermaksud: "Sekiranya aku boleh (diberi kuasa untuk menyuruh makhluk sujud kepada makhluk yang lain) menyuruh seorang itu sujud kepada seorang yang lain pastinya aku menyuruh si isteri sujud kepada suaminya." (riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, jld:7, hlm:291, Abu Daud, Sunan Abi Daud, jld:2, hlm:605, al-Tarmidzi, Sunan al-Tarmidzi, jld:4, hlm:323).
Dalam hadis ini Baginda Rasulullah SAW memperlihatkan akan kedudukan suami yang sepatutnya dihormati, sekali gus tidak ingkar kepada perintahnya. Dalam maksudnya yang lain menggambarkan bahawa suami mesti dimuliakan, dan kemuliaan itu bukan kerana Islam ingin memberi darjat yang berbeza antara lelaki dan wanita tetapi adalah untuk melihat kepada pengorbanan dan kesanggupan dia menjadi suami dan menjaga kehormatan isterinya.
Namun dari segi peruntukan dalam feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal al-Syaksiyyah menegaskan harus si isteri ziarah ibu bapanya walaupun tidak mendapat izin suami seminggu sekali, sekiranya kedua ibu bapanya sakit harus baginya menziarahi mereka setiap hari kalau dia mahu.
Harus juga bagi si isteri menziarahi sanak saudaranya dalam sebulan sekali, namun ditegaskan oleh para ulama itu sekiranya suasana aman, sekiranya suasana tidak aman maka tidak harus bagi si isteri keluar tanpa izin suaminya, yang demikian ialah demi menjaga keselamatannya (hlm:162).
Di dalam al-Quran Allah SWT menyuruh kita berulangkali supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Arahan cukup jelas selepas mentaati Allah tiada ketaatan yang lebih tinggi melainkan mentaati kedua-dua orang tua.
Firman Allah SWT berkenaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.(al-Isra': 23-24).
Baginda Rasulullah SAW telah banyak berpesan agar setiap anak melakukan kebaikan terhadap kedua ibu bapanya di antara hadis Baginda daripada Anas bin Malik yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila menaiki mimbar berkata: Amin, Amin,Amin," lalu ditanyakan kepada Baginda atas perkara apa tuan ungkapkan amin? Baginda menjawab: Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata: " Wahai Muhammad kecelakaanlah bagi seseorang itu apabila disebut namamu yang mendengar tidak berselawat ke atas engkau, katakanlah wahai Muhammad Amin, maka aku pun kata Amin, kemudian Jibril berkata lagi, kecelakaanlah seseorang itu yang memasuki bulan Ramadan tetapi pertemuannya tidak mendapat keampunan, katakanlah Amin, aku pun kata Amin, kemudian Jibril berkata: Kecelakaanlah bagi seseorang itu dia bertemu dengan kedua orang tuanya, tetapi pertemuannya dengan kedua orang tuanya tidak melayakkan dia memasuki syurga.(Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 50 ).
Di samping banyak lagi hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Keingkaran seseorang dalam mentaati ibu bapa boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Tidak kurang banyak riwayat yang mengisahkan balasan ke atas golongan yang menerima balasan segera dan tunai daripada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment