SILATURAHIM memberi pengaruh besar dalam kehidupan. Rugilah orang tidak menjaga hubungan itu, terutama di kalangan mereka yang paling hampir, seperti ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.
Jiran misalnya bukan saja golongan yang paling hampir dengan kita apatah lagi jika kita hidup sebatang kara, bahkan jiran adalah orang paling layak menegur dan memberi nasihat.
Rasulullah s.a.w menjelaskan mengenai ancaman orang yang menyebabkan jiran tetangganya tidak aman tenteram melalui sabda baginda bermaksud:
"Tidak akan masuk syurga seorang yang jiran tetangganya tidak aman daripada kejahatannya." (Riwayat Muslim)
Silaturahim yang dipupuk dari diri sendiri, membawa kepada ikatan kekeluargaan seterusnya diamalkan dalam hidup bermasyarakat mempunyai banyak kebaikan di dunia dan akhirat.
Pernah diriwayatkan, mengenai rumah yang tidak dimasuki syaitan. Antara rumah yang dibenci oleh syaitan ialah rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturahim, menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya.
Selain itu, rumah yang penghuninya terdiri dari pasangan soleh dan solehah serta saling faham memahami dan bertolak ansur, malah suka memaafkan orang lain serta rumah yang sentiasa dipenuhi dengan ucapan salam dan meminta izin.
Rumah sebegini yang dipenuhi dengan amalan mulia, akan memupuk ikatan silaturahim berpanjangan.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum diisrakkan..."
Antara mimpi Rasullullah itu ialah baginda melihat seorang dari umatnya didatangi oleh malaikat maut dengan keadaan yang amat menggerunkan untuk mengambil nyawanya. Namun, perbuatan malaikat itu terhalang oleh ketaatan dan kepatuhan umat terbabit kepada kedua ibu bapanya.
Baginda juga bermimpi umatnya cuba untuk berbicara dengan golongan mukmin tetapi mereka tidak membalas bicaranya. Namun, sifat silaturahim dan tidak suka bermusuh-musuhan umat itu menyebabkan golongan mukmin itu menyambut, malah membalas bicaranya.
Untuk menjalinkan silaturahim bukanlah sukar, apatah lagi dengan kemudahan dan kecanggihan teknologi perhubungan terkini yang membolehkan silaturahim dijalin lebih erat, lebih mantap dan kukuh.
Penggunaan telefon bimbit, emel, sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya banyak membantu untuk bertanya khabar dan mengekalkan silaturahim sesama kita.
Bukan itu sahaja, jarak perjalanan untuk mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara boleh dipendekkan dengan sistem pengangkutan yang baik seperti kapal terbang, komuter, LRT dan kereta.
Malah, sistem jalan raya juga bertambah baik dengan pembinaan lebuh raya yang mampu memendekkan masa dan tenaga. Bukankah zaman serba moden seperti ini sepatutnya mengeratkan lagi silaturrahim yang sedia wujud?
Apa yang penting keinginan untuk bersilaturahim diwujudkan oleh sifat diri manusia yang tidak sombong, suka bersedekah, ikhlas dalam setiap perkara, saling kunjung mengunjungi terutama apabila ada kematian, majlis perkahwinan atau ketika sanak saudara dilanda musibah.
Apabila silaturahim antara keluarga dan masyarakat dijaga dengan baik dan utuh, negara juga akan menerima tempiasnya.
Tempias yang baik itu merangkumi ikatan silaturahim yang membentuk pengukuhan dari aspek ekonomi, politik, agama dan sosial.
Ikatan silaturrahim tidak terhenti setakat itu sahaja, malah berlangsung sehingga ke akhir hayat sehingga menjadi perhitungan di akhirat kelak.
Ustaz Zawawi Yusoh
UIAM
No comments:
Post a Comment