Soalan: Assalamualaikum ustaz, boleh ustaz tolong jelaskan bagaimanakan yang dimaksudkan tempoh idah selepas bercerai bagi seorang wanita. Ada yang berkata tempohnya adalah 3 bulan dari tarikh bercerai atau pun 3 kali suci. Andai kata wanita tersebut telah lepas 3 kali suci tetapi tempoh idah cerainya tidak sampai 3 bulan bolehkah wanita tadi bernikah atau mesti digenapkan masa 3 bulan tersebut barulah wanita tadi boleh bernikah. Penjelasan ustaz diucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.
Jawapan:Idah yang ditetapkan oleh syariat ke atas wanita yang diceraikan suami adalah seperti berikut:
1. Wanita yang diceraikan suami dan ia masih kedatangan haid; idahnya tiga kali suci (dari haid) berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)” (Surah al-Baqarah, ayat 228). Dikecualikan jika ia mengandung, maka idahnya ialah idah wanita mengandung yang akan disebutkan nanti.[1] Maksud tiga kali suci ialah tiga kali suci selepas haid, iaitu; apabila suaminya menceraikannya ketika ia suci itu dikira suci pertama, kemudian ia kedatangan haid, kemudian disusuli suci kedua, kemudian kedatangan haid lagi, kemudian disusuli suci ketiga. Apabila habis sahaja suci yang ketiga iaitu ia kedatangan haid semula, tamatlah idahnya.