Kahwin Misyar adalah "perkahwinan di antara perempuan yang kaya, berada, berkerjaya tinggi dan belum berkahwin dengan lelaki yang berperibadi dan berakhlak mulia, baik tetapi tidak kaya dan berharta".
Syarat-syarat perkahwinan tetap sama iaitu ada wali, saksi, mas kahwin dan akad yang sama sepertimana perkahwinan lain.
Mereka berkahwin suka sama suka tetapi lelaki itu tidak menjanjikan sara hidup yang banyak untuk wanita tersebut.
Namun begitu, suami itu boleh memberi nafkah mengikut kemampuannya, terpulang kepada wanita itu untuk menggunakannya atau cukup sekadar dengan wang perbelanjaannya sendiri. Jika wanita itu berniaga, maka lelaki itu sama-sama mengusahakan perniagaan bersama isterinya.
NEGARA Arab banyak mengamalkan perkahwinan misyar
Sebut sahaja perkataan poligami kebanyakan wanita akan `panas telinga'. Sukar bagi kebanyakan wanita terutama yang bergelar isteri untuk menyebut perkataan tersebut dengan hati yang ikhlas dan reda.
Tetapi jika ia dikaitkan dengan hukum yang jelas dalam al-Quran, kelantangan bantahan sebilangan besar wanita ini akan terhenti. Pendek kata masalah poligami itu tidak akan selesai selagi ada golongan lelaki dan wanita di dunia ini.
Kini timbul pula isu baru tentang perkahwinan misyar. Pada mulanya, penulis juga terkejut dengan maksud perkahwinan tersebut kerana baru pertama kali mengetahui akan maksudnya.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Ah! bertuah suami yang menikmati perkahwinan misyar. Penulis tidak berhajat membantah cadangan tersebut tetapi pihak berkenaan perlu memperhalusi cadangan itu. Apakah perkahwinan misyar itu realisitik dengan fenomena wanita di Malaysia?
Ramai wanita berkahwin lambat kerana lebih mementingkan kerjaya
Ada pihak yang menolak cadangan supaya perkahwinan misyar dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.
Menurutnya masalah wanita tidak berkahwin di negara ini masih terkawal dan tidak perlu diatasi melalui cara tersebut.
"Cara itu tidak sesuai dipratikkan di negara ini dan kita tidak perlu mengikutinya walaupun ia sudah lama dipraktikkan di negara-negara Arab," katanya.
Masalahnya, mengapa perlu kepada perkahwinan misyar? Apakah rata-rata wanita yang berstatus janda dan andartu amat menyusahkan negara atau bersikap keterlaluan sehingga menggadaikan maruah agama dan diri?
Bersetuju dengan cadangan daripada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mendakwa perkahwinan misyar dapat mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.
Selain itu, ia juga dianggap mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.
Ada benarnya alasan tersebut. Tetapi apakah jaminan perkahwinan misyar itu boleh menyelamatkan iman dan ketaatan para isteri terhadap suaminya?
SUAMI yang baik boleh membahagiakan keluarganya
Suami tidak perlu memberi nafkah zahir tetapi cukup memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Ok, mungkin para isteri masih boleh tersenyum dengan keistimewaan suami hasil daripada perkahwinan misyar.
Tetapi, siapa pula yang perlu bertanggungjawab menunaikan nafkah zahir terhadap anak-anak? Apakah ini juga menjadi tanggungjawab isteri? Perbelanjaan lampin, susu, pakaian, persekolahan, makan, perbelanjaan harian dan sebagainya.
Penulis yakin, sejauh mana kasih sayang dan ketaatan isteri terhadap suaminya, jika semua masalah dibebankan ke atas kepala isteri, sudah pasti kesabaran dan ketaatan seorang isteri akan tercabar.
Bibit-bibit kasih sayang akan mula tercalar apabila hati sudah mula berkata-kata - daripada aku menanggung semua ini lebih baik aku tak payah kahwin!
Mulalah episod bermasam muka dengan suami, mengata sikap suami, tak puas hati, dendam dan sebagainya. Walhal masa nak kahwin dulu, `I Love U, I sanggup buat apa sahaja asalkan I dapat U'. Tapi apabila setiap hari terpaksa keluar duit menanggung diri sendiri dan anak-anak, hilang Love U yang tinggal menyampah I tengok muka U'.
Lama kelamaan berlaku perceraian. Anak-anak yang masih kecil yang masih tidak tahu erti penderitaan dan kesengsaraan, tetap menagih kasih sayang daripada ibu bapa mereka.
Jika mereka tidak mendapat belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa, sudah tentu mereka akan mencari kasih sayang itu di luar. Maka terjebaklah mereka dalam kancah gejala sosial.
Jika begini jadinya, apakah perkahwinan misyar benar-benar dapat mengurangkan perlakuan maksiat?
_________________
Petikan artikel daripada: Jabatan Agama Islam Selangor
2 comments:
Artikel yg ringkas dan padat. Tq admin atas perkongsian yang sangat bermanfaat ini... :)
Mereka berkahwin suka sama suka tetapi lelaki itu tidak menjanjikan sara hidup yang banyak untuk wanita tersebut.
Namun begitu, suami itu boleh memberi nafkah mengikut kemampuannya, terpulang kepada wanita itu untuk menggunakannya atau cukup sekadar dengan wang perbelanjaannya sendiri.
Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.
Sy kurang faham. Si suami ni bagi atau tidak nafkah zahir.
Post a Comment