BACHOK 19 Dis. - Kelantan memerlukan pemimpin yang sihat fizikal dan cerdas mental bagi memacu pembangunan dan kemajuan negeri untuk mencapai sasaran menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sekiranya pemimpin yang mentadbir kerajaan lesu, negeri akan turut lesu sekali gus mengakibatkan Kelantan ketinggalan dalam arus kemajuan negara.
Beliau berkata, pemimpin yang dipilih perlu mengutamakan amanah rakyat dengan membangunkan negeri ini dalam pelbagai aspek termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan perolehan negeri.
"Sekadar aktif untuk mengukuhkan kedudukan politik, ia tidak memberi sebarang makna bagi membawa Kelantan menjadi negeri maju pada masa akan datang.
"Sebaliknya, kelembapan ekonomi dan kemiskinan hidup rakyat akan berterusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat UMNO Bahagian Bachok di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keadaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering keluar masuk hospital kerana masalah kesihatan dan terbaru dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama empat hari, minggu lalu.





