Monday, December 20, 2010

Pemimpin perlu cerdas dan cergas..

Dengan kata lain, rakyat Kelantan kena pilih Datuk Awang yang cergas dan pintar untuk mentadbir Kelantan.. apapun terpulanglah pada rakyat Kelantan.. bagi saya kecerdasan dan kekuatan fizikal bukan jaminan keselesaan rakyat.. tapi yang penting kemampuan rohani dan kecerdasan minda dalam berfikir dan bertindak memacu kemajuan dan keharmonian hidup rakyat.. dunia dan akhirat..

BACHOK 19 Dis. - Kelantan memerlukan pemimpin yang sihat fizikal dan cerdas mental bagi memacu pembangunan dan kemajuan negeri untuk mencapai sasaran menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, sekiranya pemimpin yang mentadbir kerajaan lesu, negeri akan turut lesu sekali gus mengakibatkan Kelantan ketinggalan dalam arus kemajuan negara.

Beliau berkata, pemimpin yang dipilih perlu mengutamakan amanah rakyat dengan membangunkan negeri ini dalam pelbagai aspek termasuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan perolehan negeri.

"Sekadar aktif untuk mengukuhkan kedudukan politik, ia tidak memberi sebarang makna bagi membawa Kelantan menjadi negeri maju pada masa akan datang.

"Sebaliknya, kelembapan ekonomi dan kemiskinan hidup rakyat akan berterusan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat UMNO Bahagian Bachok di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai keadaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering keluar masuk hospital kerana masalah kesihatan dan terbaru dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selama empat hari, minggu lalu.


Nik Aziz, yang menjangkau usia 79 tahun bagaimanapun masih enggan meletak jawatan walaupun didesak oleh pelbagai pihak, dengan alasan pemikirannya masih mampu untuk mentadbir negeri dan akan terus menerajui pentadbiran kerajaan Pas Kelantan selagi parti itu memerlukan khidmatnya.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, rakyat Kelantan akan kerugian disebabkan kelemahan kerajaan negeri mentadbir dan merancang projek pembangunan dengan berkesan, selain tidak berupaya untuk turun padang menyelami permasalahan mereka.

Beliau berkata, walaupun telah diberi peluang memerintah negeri ini lebih 20 tahun, terbukti tidak banyak projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Pas Kelantan, menyebabkan semakin ramai rakyat negeri ini berhijrah ke negeri lain bagi mencari pekerjaan.

"Ini jelas apabila hanya satu daripada 1,000 kilang terbesar di seluruh negara beroperasi di Kelantan dan tidak mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan Pas Kelantan benar-benar berkemampuan mereka sudah pasti dapat menarik kemasukan lebih banyak pelabur asing, selain mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang secara tidak langsung memberi pendapatan kepada kerajaan negeri melalui kutipan cukai.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri jelas apabila Kerajaan Pusat hanya dapat mengutip cukai jualan sebanyak RM34 juta setahun dari negeri ini, berbanding negeri lebih kecil seperti Melaka yang mampu mengutip sebanyak RM1.3 bilion setahun.

//utusan.com.my

No comments: