Thursday, May 21, 2009

Keistimewaan Dabong Kelantan

SELAIN menyediakan pelbagai makanan enak, negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai banyak lokasi tarikan pelancongan untuk diteroka.

Terkenal dengan Pantai Seri Tujuh di Tumpat, zon bebas cukai di Rantau Panjang, Pantai Irama di Bachok, pusat peranginan dan perikanan Tok Bali di Pasir Puteh, Tasik Pergau di Jeli manakala pelbagai jenis gua di Dabong dan Gua Musang.



Jika berkunjung ke Kelantan, pastikan anda melawat Dabong, kira-kira 160 kilometer ke barat Kota Bharu.

Biarpun dikatakan agak terpinggir daripada arus kemodenan, pekan kecil yang dikelilingi hutan tropika itu amat sesuai untuk mereka yang menggemari aktiviti rekreasi mencabar seperti mendaki gunung, menjelajah gua dan berakit menerjah arus deras serta jeram.

Dabong bukanlah sesuatu yang asing untuk masyarakat di negara ini kerana ia popular dengan air terjun Jelawang yang mengalir deras ke bongkahan batu Gunung Stong yang dipercayai tertinggi di Asia Tenggara.Tidak jauh dari gunung berkenaan, terletaknya empat gua menarik yang giat dipromosikan sebagai lokasi tarikan pelancong jika mengunjungi Dabong.

Gua Ikan, Gua Gelap (atau juga dikenali sebagai Gua Batu Tersusun), Gua Keris dan Gua Pagar, mungkin asing bagi sesetengah orang, tetapi bagi golongan pencinta alam, ia amat popular.Empat gua itu menyimpan pelbagai sejarah serta mitos tersendiri dan ramai mengakui sukar menaklukinya.

Menurut peneroka gua, Fauzi Hussin, nama Gua Ikan diperoleh ekoran daripada terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan di gua itu.Ada mitos mengatakan dulu terdapat sejumlah ikan menghuni di gua itu dan ia dijadikan lokasi masyarakat Melayu kuno mengadakan majlis perkahwinan.

Namun, berbanding empat gua berkenaan, Gua Gelap paling mencabar dan sukar dimasuki kerana laluannya yang sempit dan gelap. Pengunjung yang mahu ke Gua Keris dan Gua Pagar perlu melalui Gua Gelap dengan mengiring sebelum merebahkan badan dan mengensot secara melentang untuk melepasi laluan rendah serta sempit di pintu gua.

Bagi masyarakat tempatan, gua itu umpama perjalanan bayi yang gelap di dalam rahim ibunya sebelum bertarung nyawa ketika dilahirkan ke dunia. Sesuai dengan namanya, Gua Gelap itu memang gelap dan pengunjung perlu menggunakan lampu suluh atau berpandukan cahaya yang melepasi lubang depannya.

Di sepanjang laluannya, pengunjung boleh melihat stalaktit serta stalagmit yang terbentuk hasil daripada titisan dan hakisan air sejak ribuan tahun dulu, bersinar terang apabila disuluh cahaya.Menurutnya, kebanyakan susunan batu di gua berkenaan diusik dan dipindahkan golongan yang mencari batuan zamrud yang kononnya dikatakan banyak terdapat di gua itu.

Tidak jauh bezanya dengan Gua Keris yang mempunyai trek pendakian yang agak mencabar dengan pengunjung perlu memanjat batu licin.

Namun, kepenatan mendaki sejauh kira-kira 100 meter dari Gua Gelap pasti terubat sebaik saja tiba di dalamnya.

Menyambut kunjungan pengunjung ialah ukiran batu semula jadi seumpama sebilah keris yang terpacak di bumi, hasil cantuman stalaktit dan stalagmit.
Berbeza dengan gua lain, Gua Keris mempunyai permukaan yang mendatar dan luas seumpama sebuah padang bola sepak.

Gua itu dipercayai pernah didiami manusia dulu kala serta dijadikan sebagai lokasi untuk berlatih silat.

Menjelajah ke seluruh pelosok gua ini memang memberi kenangan indah kepada sesiapa saja terutama si pencinta alam.

Keindahan stalaktit dan stalagmit yang berkilauan apabila terkena cahaya memang melekakan pandangan sesiapa juga.Terdapat pelbagai jenis flora dan fauna di gua ini antaranya sejenis flora istimewa yang sukar ditemui di tempat lain yang dikenali sebagai 'Vaughan's Balsam'.

Selain di gua berkenaan, ia dikatakan hanya terdapat di Perlis dan Selatan Thailand.

Dalam pada itu, keempat-empat gua berkenaan boleh diterokai dalam tempoh separuh hari jika pengunjung mempunyai masa yang terhad dan menghabiskan bakinya dengan bermandi-manda di tempat perkelahan air terjun yang berdekatan.

Biarpun berpotensi dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong di Kelantan tetapi ia seakan dipinggirkan pihak berkuasa tempatan (PBT ) yang dikatakan tidak menyedia dan menyelenggara kemudahan asas dengan baik.

Keadaan kemudahan tempat berehat, laluan perjalanan, papan tanda serta tandas yang disediakan memang cukup mendukacitakan.

Biarpun dikenakan bayaran masuk, tandas yang disediakan tidak mempunyai lampu dan bekalan air yang begitu perlahan selain kebersihan yang tidak dijaga.

Selain itu, PBT juga wajar meletakkan papan tanda yang sesuai dan bukan hanya berharap papan tanda daripada kertas fotostat kemudian ditampal di sekitar gua berkenaan.


//MyMetro Online


2 comments:

Raden network said...

salam,namakan website anda sendiri selain blogspot.www.website.ws/qistina28 muatturun buku panduan www.anakkelate.ws

Raden network said...

untuk menempah wacanaminda.ws sila login member area www.website.ws