Tuesday, April 5, 2011

Warkah Untuk PM.. harap PM baca..!!

30 RabiulAkhir 1432 bersamaan
4 April 2011

السلأم عليكم ؤرحمة اللة ؤبركاتة

Ke Majlis ;
Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Hj Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA

YAB Dato’ Sri,

PETROLEUM NEGARA

Atas kemurahan Allah S.W.T mengurniakan rezeki ke atas bumi Malaysia untuk dinikmati oleh seluruh makhluk-Nya, dengan harapan semoga YAB Dato’ Sri diberikan petunjuk untuk memimpin tanah air ini menuju keredhaan Allah S.W.T.

Berdasarkan kesedaran prinsip Rule of Law sebagai garis sempadan kepemimpinan, serta kesedaran yang menguruskan rezeki yang Allah anugerahkan berdasarkan yang hak , di sini saya ingin memanjangkan dua (2) cadangan kepada YAB Dato’ Sri mengenai PETROLEUM NEGARA.

Pertama : Menghidupkan semula Majlis Penasihat Petroleum Negara

1. Majlis Penasihat Petroleum Negara adalah dikehendaki oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 tetapi buat masa ini ianya tidak wujud dan kerana itu ia di ketengahkan semula untuk perhatian YAB Dato’ Sri.

Akta ini diasaskan oleh Almarhum Ayahanda YAB Dato ‘ Sri sendiri pada tahun 1974.

Seksyen 5 Akta ini dengan jelasnya menghendaki Perdana Menteri membentuk sebuah MAJLIS PENASIHAT PETROLEUM. Saya perturunkan kandungan akta berkenaan untuk rujukan YAB Dato’ Sri , seperti berikut;



Majlis Penasihat Petroleum Negara

5. (1) Suatu Majlis yang dinamakan Majlis Penasihat Petroleum
Negara hendaklah ditubuhkan yang terdiri daripada orang termasuk
mereka dari Negeri yang berkaitan yang dilantik oleh Perdana
Menteri.

(2) Menjadi kewajipan Majlis Penasihat Petroleum Negara untuk
menasihati Perdana Menteri tentang dasar negara, kepentingan dan
perkara yang berkenaan dengan petroleum, perusahaan petroleum,
sumber tenaga dan penggunaannya.

Perhatikan dua hal di atas ;
a. Adanya penglibatan negeri pengeluar dalam Majlis,
b. Untuk menasihati Perdana Menteri mengenai dengan petroleum , perusahaan petroleum, sumber tenaga dan penggunaannya.

Kedua-dua hal ini masih relevan dan dengan itu kehendak dan semangat Akta ini bagi penubuhan majlis tersebut adalah masih valid dan relevan.

2. Majlis ini pada pendapat saya adalah sangat penting ;

Petroleum telah muncul menjadi hasil paling utama negara kita. Kebergantungan ekonomi negara terhadap sektor ini sangat penting dan besar.

Petronas sendiri telah muncul menjadi gergasi korporat yang sangat besar dan dengan itu kedudukannya menjadi lebih penting kepada kedudukan negara secara keseluruhan baik dari sudut kewangan, ekonomi mahupun sebagai katalis perubahan sosial yang saksama bagi seluruh negara.

Pada hari ini, Petronas khususnya dan industri petroleum negara amnya bergantung kepada nasihat seorang individu iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir di mana jawatan penasihat perseorangan tidak wujud dalam akta ini.

Saya yakin Almarhum Ayahanda YAB Dato’ Sri dan tokoh pengasas Akta ini, termasuk YBM Tengku Razaleigh Hamzah mempunyai pandangan bijaksana bila mereka meletakkan keperluan penubuhan majlis penasihat tersebut dalam Akta ini.

Bagi pihak YAB Dato’ Sri pula, apakah masalah besar sehingga kehendak undang-undang ini belum dipatuhi ?

3 Majlis ini jika ditubuhkan, juga boleh dianggotai oleh wakil negeri-negeri pengeluar petroleum, dengan itu isu kepentingan negeri turut dapat dibincangkan. Selain itu, pengendalian dan pengagihan wang royalti di peringkat negara dan negeri dapat dilakukan secara lebih berkesan demi menuju sasaran yang utama (priority) bagi memberikan kesan maksima kepada kemakmuran rakyat.

Isu tiadanya sambungan paip gas PGU bagi Kelantan umpamanya, boleh dibincangkan.

Isu bagaimana pendapatan royalti Sarawak dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk mengatasi masalah kemiskinan Sarawak yang masih berterusan , kekurangan infrastruktur dan kemudahan awam yang berlarutan dan pemuliharaan khazanah hutan Sarawak untuk kehidupan yang tidak terancam dan lain-lain saya yakin dapat diselaraskan.

Kedua : Meningkatkan royalti 5% peratus kepada 20% untuk Sabah dan Sarawak.

1. Bersekali dengan cadangan ini, saya ingin cadangkan juga suara rakyat Sarawak yang mahukan jumlah royalti bagi negeri pengeluar minyak seperti Sabah dan Sarawak ditingkatkan dari 5% sekarang kepada 20 %. Ia boleh mempercepat lonjakan kemajuan bagi kedua negeri yang telah terkebelakang sekian lama.

Amalan pemberian royalti yang lebih besar bagi negeri pengeluar telah pun diamalkan di Indonesia dan negara lain.

2. Ia selari dengan perkembangan semasa dan kedudukan Petronas yang telah pun menikmati kedudukan yang kuat dari sumber di negeri-negeri di mana Petronas membina tuahnya dan sampai masanya anak negeri diberi peluang menikmati kemakmuran itu secara lebih berkesan.

Saya panjangkan cadangan-cadangan ini untuk kebaikan Malaysia jua, seperti mana telah termaktub dalam Akta yang telah juga diluluskan oleh kerajaan BN sendiri. Tiada kemunasabahan untuk ia diabaikan dan dicuaikan.

Kecuali saya masih boleh percaya YAB Dato’ Sri tidak mempunyai agenda tersembunyi seumpama untuk lebih bebas campurtangan dalam urusan Petronas , kerana itu tentunya tidak baik bagi negara kita.

Sekian, terima kasih

“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM : KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN”

DATO’ HJ HUSAM BIN MUSA


//www.husamusa.com

No comments: