Friday, April 1, 2011

Industri pelancongan Kampung Melawi dirancakkan

(Papan tanda projek pembinaan jalan pesisir pantai Bachok - Pasir Puteh)

BACHOK 31 Mac - Industri pelancongan di perkampungan nelayan pesisir pantai iaitu Kampung Melawi akan dirancakkan selepas Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM13 juta bagi melebarkan jalan sepanjang 15 kilometer dari kampung itu sehingga ke sempadan Pasir Puteh di sini.




Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pelan reka bentuk dan pengambilan semula tanah penduduk yang terbabit bagi tujuan itu sudah selesai dilaksanakan. "Kita akan berusaha agar pembinaannya dipercepatkan bagi merancakkan industri pelancongan di Bachok yang berpotensi untuk dimajukan serta berupaya memberi nilai tambah kepada penduduk sekitarnya," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Kandis di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, kelulusan itu dibuat memandangkan jalan sedia ada kira-kira 500 meter dari pantai itu agak sempit dan sukar dilalui oleh kenderaan berat terutama bas. Katanya, apabila siap kelak, lebih 20 pengusaha calet di sepanjang pantai itu akan mendapat faedah manakala penduduk kampung berpeluang mendapat pekerjaan dan berniaga secara kecilan-kecilan.

Awang Adek berkata, pembangunan itu sejajar dengan transformasi ekonomi yang dilancarkan oleh kerajaan untuk membangunkan ekonomi sesuatu tempat berasaskan persekitarannya. "Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang terletak berhampiran juga merupakan produk yang bernilai tinggi bagi pembangunan industri berkenaan," katanya.

Selain itu beliau berkata, kawasan berkenaan bukan sahaja akan menarik minat pelancong dalam negara menerusi sambungan rangkaian Lebuh Raya Pantai Timur, tetapi ia juga akan memikat pelancong luar memandangkan kawasan itu terletak hanya kira-kira 10 kilometer dari Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata, Kerajaan Pusat juga meluluskan peruntukan RM30 juta untuk melebarkan sungai di Pangkalan Petah. Beliau berkata, pelabuhan nelayan dan pusat pendaratan ikan itu sudah siap dibina dan dapat memberi kemudahan kepada lebih 300 nelayan di kawasan itu untuk melabuhkan bot-bot mereka termasuk bot laut dalam.

//utusan.com.my

No comments: