Thursday, June 14, 2012

PEMBINAAN LEBUH RAYA RAKYAT BUKTI KELANTAN PERIHATIN

Kenyataan Media

Persatuan Anak Kelantan Darulnaim Di Selangor & Kuala Lumpur (PERSADA)


• Pada 28 Mei 2012 bersamaan 7 Rejab 1433, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengadakan upacara pecah tanah merasmikan pembinaan Lebuhraya Rakyat tanpa tol dari Kota Bharu ke Kuala Krai sejauh 73 Kilometer untuk manfaat rakyat dengan anggaran kos RM1.8 bilion. Pembinaan Lebuhraya ini merupakan inisiatif kerajaan negeri setelah cadangan yang dikemukakan sejak Rancangan Malaysia Ke-5 masih “tidak ditunai/ditangguh” sehingga sekarang sekarang tanpa sebarang alasan dan sebab yang munasabah.



• Persatuan Anak Kelantan Darulnaim Di Selangor & Kuala Lumpur (PERSADA) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan amat mengalu-alukan inisiatif dan langkah proaktif kerajaan negeri sebagai usaha yang amat murni demi melihat kepentingan dan kesejahteraan rakyat melebihi kepentingan lain.


• PERSADA menyokong penuh inisiatif ini dan bersedia sebagai “Duta Kecil Kelantan” untuk membantu kerajaan negeri dalam memastikan usaha murni ini berjalan lancar dan semoga Lebuhraya Rakyat tanpa tol ini dapat direalisasikan di Kelantan dengan jayanya.

• Berdasarkan pengalaman kami sebagai anak Kelantan perantauan, kesesakan jalan raya merupakan satu isu yang seringkali ditimbulkan oleh para pelancong yang melawat Kelantan dan seringkali menjadi runggutan warga Kelantan perantauan apabila pulang ke kampong. Kemudahan rangkaian jalan raya yang baik juga antara faktor utama yang menentukan para pelabur untuk membuat pelaburan di Kelantan.

• Justeru, pembinaan lebuharaya ini sudah tentu amat mengembirakan kami sebagai anak Kelantan perantauan dan akan memberi imej yang baik kepada kami sebagai “Duta Kecil Kelantan” dalam kehidupan bermasyakat di perantauan. Ia juga akan merungkai ‘kekusutan’ utama para pelabur sejak sekian lama, mudahan dengan terbina lebuhraya ini negeri Kelantan akan menjadi tumpuan para pelabur dan para pelancong dari dalam dan luar negara.

• Idea mengusahakan pembinaan secara waqaf dan kerjasama antara kerajaan dan rakyat amat meruntun jiwa kami dan kami percaya bahawa masyarakat Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang percayakan konsep amal jariah akan menyokong dan bersedia mengambil bahagian dalam hal ini. Ini membuktikan kebijaksanaan dan kehebatan sebuah kerajaan yang diurus berpaksikan Islam.

• Kami menyeru pihak-pihak yang mempertikaikan serta memperkecilkan hasrat murni kerajaan negeri supaya insaf dan bersedia memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk membuktikan kemampuan dan keupayaan mereka. Seharusnya usaha yang baik ini perlu disokong bahkan seharusnya bersama-sama berganding-bahu membantu kerajaan negeri untuk merealisasikanya bukan sebaliknya.
• Kami juga menyeru kepada warga Kelantan khasnya dan rakyat Malaysia amnya supaya mengambil peluang ini dan bersama-sama memberi sumbangan bagi merealisasikan lebuhraya tanpa toll ini terbina dengan jayanya. InsyaAllah, keberkatan daripada sumbangan rakyat akan dipermudahkan oleh Allah S.W.T usaha pembinaannya dan semoga sumbangan yang dihulurkan menjadi amal jariah yang berkekalan.



Wassalam

Yang Menjalankan Amanah



Ali Hanafiah Mohamed

Presiden

Persatuan Anak Kelantan Darulnaim Di Selangor & Kuala Lumpur (PERSADA )
12hb Jun 2012

No comments: