Friday, September 7, 2012

"Life begin at 40' juga relevan untuk wanita...

Kita biasa dengar orang kata life begin at forty. Namun frasa mengenai bermulanya hidup dalam usia 40 biasanya dikaitkan dengan lelaki sahaja. Ia seperti tidak ada kena mengena langsung dengan wanita.

Wanita apabila menghampiri usia 40 lazimnya akan menjadi terlalu sensitif apabila disentuh mengenai usia.  Malah ada yang marah-marah apabila dipanggil ‘makcik’ oleh budak belasan tahun yang sememangnya sebaya dengan anak mereka.


Kerana itu, ada yang sanggup berhabisan ribuan ringgit setiap bulan semata-mata supaya dapat dihilangkan imej ‘makcik’ mereka.

Kalaulah Jabatan Pendaftaran membenarkan ditukar tarikh lahir dalam kad pengenalan dengan bayaran tertentu sebagaimana Jabatan Pengangkutan Jalan membuka bidaan nombor plet kenderaan, beratus-ratus ribu pun sanggup dibayar agaknya oleh wanita untuk mereka terus muda sampai bila-bila.



Itulah yang saya percaya dan saya pegang daripada pemerhatian sepanjang 40 tahun mengenali dan bergaul dengan wanita.

Oleh sebab itu, apabila seorang kawan – wanita – yang berusia 38 tahun tiba-tiba mengaku dia tidak sabar-sabar lagi hendak mencapai umur 40, saya berasa pelik, sangat-sangat pelik.

Antara percaya dengan tidak akan kata-katanya, saya bertanya: “Mengapa, apa sebabnya you nak sangat umur 40?”

Lalu dia pun menjawab: “Apa kurangnya umur 40? You yang dah sampai umur 40 ni, terasa ada apa-apa yang kurang ke?”

“Lelaki lainlah,” jawab saya.

“Orang lelaki, umur 40 bertambah laris, makin ramai yang nak mendekat, termasuk anak dara, jangan buat tak tahu…” kata saya dalam ketawa.

Khusus kepada isteri saya, kata-kata itu semata-mata merujuk kepada orang lain, tidak ada kena mengena dengan diri saya.

“Habis, you ingat, orang perempuan kalau umur 40 sudah tak laku ke? You silap… sangat silap,” katanya.

Dan lagi kata kawan saya itu, dia sendiri sudah bersiap sedia untuk jatuh cinta kali kedua apabila sampai umur 40 nanti.

“Fuuhh, siap buat azam lagi. Biar betul you ni!” saya membalas.

Mengenai rakan saya itu, saya akui walaupun dalam usia yang sudah ‘petang’, punya tiga anak, dia cukup pandai jaga badan. Sebagai kawan yang sudah lama mengenalinya, sejak dia anak dara, saya boleh akui dia lebih ‘bergetah’ berbanding dulu.

Dengan raut wajah yang tampak matang, tubuh yang sedikit berisi berbanding zaman muda, keanggunannya amat terserlah. Jadi apabila dia berkata, dia sedia untuk jatuh cinta kali kedua, saya tahu itu bukan masalah baginya. Jangankan duda atau suami orang, anak teruna pun boleh datang melutut kalau dia mahu Akan tetapi masalahnya, dia isteri orang.

“You jangan buat pasal la Fiza, you tu isteri orang!” kata saya lagi.

Mendengar kata-kata saya, dia tertawa dan ketawanya agak kuat hingga ada beberapa orang yang sedang makan dalam kedai asam pedas di Seksyen 15 Shah Alam itu menoleh ke arah kami.

Dalam hati saya langsung berkata: “Harap rupa saja lawa, perangai masih tak senonoh walaupun sudah hampir umur 40, buat malu aku saja.”

“You ni silap faham, Mat. I bukan nak jatuh cinta dengan orang la.”

“Habis tu? Dengan siapa, dengan beruk?” Saya melepaskan geram yang terbuku dek kerana malu dipandang orang disebabkan ketawanya yang kuat tadi.

“Macam ni, biar I explain kat you. Orang perempuan ni, bila sampai umur macam ni, dah ada suami, anak-anak dan keluarga yang bahagia, tak mungkin nak jatuh cinta pada lelaki lain lagi.


“Perempuan setia, bukan macam lelaki. Yang I maksudkan jatuh cinta kali kedua tu adalah pada diri sendiri. Jatuh cinta pada diri sendiri ni macam-macam cara Che Mat oiii, antaranya pasang badan, belajar ugama, mula fikir pasal perabut yang mahal-mahal, macam-macam …”


Lagi katanya, dalam umur macam sekarang, wanita rata-ratanya anggap mereka sudah capai kesempurnaan dalam hidup, tidak ada apa yang nak dicari atau diburu lagi.


“Sekarang sudah tak susah-susah bangun tengah malam buat susu anak. Tak payah fikir nak bangun awal buat sarapan. Hidup boleh dianggap sudah established, sudah sempurna. Jadi bolehlah jatuh cinta kali kedua, kepada diri sendiri. Boleh ulang alik pergi gym atau belajar tai-chi, jaga badannnn….,” katanya dengan nada mahu tunjuk kepuasan kerana berjaya ‘mengenakan’ saya.

Saya diam sahaja, biar dia cakap sampai puas.

“Orang lelaki tak macam perempuan. Apabila hidup senang sikit, bukan nak diingat orang yang bersusah payah bersama dulu. Masa inilah nak dicari kesempurnaan yang lebih, maklumlah orang sebelah dianggap sudah berumur, sudah tua, tak sepadan lagi nak dibawa berjalan, kena cari yang mudalah.”

“Amboi! Ini sudah lebih…,” kata saya.

“Mengapa Che Mat, terasa ka?” “Bukan terasa, you mengata lelaki… seolah-olah semua lelaki tu sama.,” kata saya.

“Tak, I bukan mengata you, I tau you baik, jarang ada lelaki yang baik macam you ni,” katanya sambil tertawa. Mujur kali ini ketawanya tidak sekuat tadi, dan tidak ada orang yang menoleh ke meja kami lagi. Walau apa pun, tidak mudah untuk saya terima kata-katanya yang bersambung ketawa seperti menyindir itu.

Dia kemudian berkata lagi: ” I cuma nak ingatkan. Wanita 40an, yang ada belanja cukup, boleh jaga badan, pasang badan, sesetengahnya lebih ranggi daripada anak dara. You perhatilah… jadi suami tu kena jeling-jeling sikit ye!”

Fuuhhh!!! Asam pedas yang selalunya bagi saya ‘best in the world’ tiba-tiba terasa tidak sedap tengah hari itu.

Kata-kata kawan saya itu tentunya buat mana-mana suami pun berdebar. Inilah agaknya yang ramai isteri-isteri rasa apabila suami mereka sampai umur 40, yang kononnya akan buat saham lelaki lebih tinggi.

No comments: