Ahmad Lutfi Othman Tarikh 8 Mac lalu sepatutnya dirayakan penuh kegembiraan aktivis Pakatan Rakyat. Genap tiga tahun lalu, tsunami politik menggegarkan negara. Lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dikuasai Pakatan (yang sebenarnya belum pun terbentuk ketika itu). Buat pertama kali, majoriti dua pertiga BN dinafikan.
Namun, situasi kini sedikit berbeza. Dua hari sebelum itu, kedua-dua calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat tewas dalam pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau, dengan peningkatan majoriti BN. Benar, posisi kerusi tidak berubah. Ia berlangsung di kawasan kubu kuat BN.
Rekod pula menunjukkan sepanjang 16 pilihan raya kecil selepas 8 Mac 2008, kedudukan seri 8:8. Jika BN dapat merebut kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dun Galas, Pakatan Rakyat pula berjaya menguasai kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Sibu. Cuma majoriti BN untuk tiga pilihan raya kecil mutakhir, termasuk di Tenang, semakin meningkat.
Senarai punca kekalahan memang panjang. Sebahagian besar -- malah mungkin semuanya -- sudah dapat dijangka. Cuma Merlimau dan Kerdau terpaksa menyaksikan salahlaku BN yang lebih dahsyat. Ini juga tidak memeranjatkan. Tetapi segalanya tidak dapat disekat oleh undang-undang. Kecewa dengan "permainan kotor BN", ada pemimpin PAS yang menyarankan agar diboikot sahaja pilihan raya.