Ahmad Lutfi Othman
Tarikh 8 Mac lalu sepatutnya dirayakan penuh kegembiraan aktivis Pakatan Rakyat. Genap tiga tahun lalu, tsunami politik menggegarkan negara. Lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dikuasai Pakatan (yang sebenarnya belum pun terbentuk ketika itu). Buat pertama kali, majoriti dua pertiga BN dinafikan.
Namun, situasi kini sedikit berbeza. Dua hari sebelum itu, kedua-dua calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat tewas dalam pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau, dengan peningkatan majoriti BN. Benar, posisi kerusi tidak berubah. Ia berlangsung di kawasan kubu kuat BN.
Rekod pula menunjukkan sepanjang 16 pilihan raya kecil selepas 8 Mac 2008, kedudukan seri 8:8. Jika BN dapat merebut kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dun Galas, Pakatan Rakyat pula berjaya menguasai kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Sibu. Cuma majoriti BN untuk tiga pilihan raya kecil mutakhir, termasuk di Tenang, semakin meningkat.
Senarai punca kekalahan memang panjang. Sebahagian besar -- malah mungkin semuanya -- sudah dapat dijangka. Cuma Merlimau dan Kerdau terpaksa menyaksikan salahlaku BN yang lebih dahsyat. Ini juga tidak memeranjatkan. Tetapi segalanya tidak dapat disekat oleh undang-undang. Kecewa dengan "permainan kotor BN", ada pemimpin PAS yang menyarankan agar diboikot sahaja pilihan raya.
Sejak PRU 2004, saya di antara segelintir kecil yang menyokong gesaan agar parti-parti pembangkang memboikot pilihan raya sehinggalah ia dapat berjalan dengan adil dan bebas. Tahun itu, ramai terkejut dengan keputusan pilihan raya, yang berpunca daripada taktik licik BN bersama agensi kerajaan, seperti SPR dan JPN. Boikot adalah usaha terancang dan tersusun untuk meningkatkan tekanan, sehingga ke peringkat antarabangsa, agar pengendalian pilihan raya kita dapat "dibersihkan".
Ramai mengharapkan agar proses melobi pilihan raya bersih dan adil dipertingkatkan dalam kadar segera, termasuk melalui demonstrasi raksasa. Bukan hanya merungut selepas kalah pilihan raya. Dalam masa sama, pengedaran akhbar-akhbar alternatif, seperti Harakah dan Suara Keadilan (yang terpaksa berubah-ubah namanya), mesti dipandang serius. Kini, rangkaiannya cukup terbatas dan tidak dapat menembusi wilayah yang menjadi kubu kuat BN.
Saya turut mengharapkan aktivis dan pimpinan PAS dapat menilai pandangan terbuka pensyarah media, Dr Abu Hassan Hasbullah. Ada nada kritikan yang agak pedas yang menyarankan agar PAS dan Pakatan Rakyat melakukan pembaharuan, bagi mengelak terus terjunam dalam situasi yang semakin melemah. "Tidak boleh hanya bergantung pada dongeng bahawa golongan muda, profesional menyokong mereka. Hendaklah diubah sikap, strategi, komunikasi, peranan dan pengaruh serta sistem ke arah lebih dinamik," tegasnya.
"Kekalahan ini adalah sebenarnya kekalahan taktikal, dan strategi serta gagalnya Pakatan Rakyat untuk bersekutu dalam semua proses baik bentuk, kandungan dan sistem politik. PAS harus menggunakan perubahan sikap dan strategi khususnya dengan menempatkan tokoh-tokoh muda yang lebih dinamik dan moden sebagai strategi baru dalam politik," ujar Dr Abu Hassan dalam interbiu eksklusif dengan Harakah keluaran ini.
Melalui SMS kepada saya, beliau menambah: "Pengundi Melayu juga melihat beban mendiam PAS ke atas isu-isu Melayu sedangkan PAS pernah menjadi tunjang pembelaan sikap ini. Di mana suara PAS menjawab pandangan Dr Mahathir bahawa Melayu mesti bersedia membuang tongkat? Masalah utama PAS ialah pemimpin yang tidak cekap, sistem yang lemah dan taktikal yang daif, yang perlukan gerakan dan gaya baru, strategi komunikasi yang baik, agar tidak terperangkap dengan isu-isu seperti Hari Valentin dan judi di Kelantan."
II.
Nurul Izzah Anwar, 4 Mac lalu, mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Putrajaya, untuk mendapatkan permit bagi menerbitkan akhbar Utusan Rakyat. Mingguan yang akan menumpukan kepada pelbagai isu semasa, termasuk isu politik, bukannya lidah rasmi KeADILan tetapi akan bersifat saksama dalam laporannya.
Organ parti, Suara Keadilan telah diharamkan penerbitannya ekoran tajuk muka depan, Felda Bankrap, dan sehingga kini tiada tanda-tanda ia bakal diberikan kebenaran untuk menerbitkannya semula. Menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, menteri berhak mengharamkan mana-mana permit penerbitan, tanpa perlu memberikan apa-apa alasan dan keputusan mutlak itu tidak boleh dicabar di mahkamah.
Meskipun Nurul Izzah tidak menyatakan siapa pemilik Utusan Rakyat, dipercayai Naib Presiden KeADILan, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, turut terbabit bagi menjayakan penerbitan akhbar berkenaan. Agak menarik apabila ia mempunyai ahli lembaga penasihat pengarang yang diketuai Ambiga Sreenevasan yang mewakili NGO, Nurul Izzah beliau sendiri sebagai wakil Pakatan Rakyat, manakala Tengku Razaleigh Hamzah dijemput bagi mewakili Barisan Nasional.
Dalam sidang media selepas menyerahkan permohonan tersebut, Nurul Izzah berkata beliau dimaklumkan bahawa menurut piagam KDN, ia akan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum membuat keputusan berhubung permohonan tersebut. Katanya, satu panel 10 orang yang akan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Keselamatan, Abdul Rahim Radzi akan membincangkan permohonan tersebut, sebelum dimajukan kepada Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein untuk kelulusan.
Nurul Izzah juga mengumumkan wartawan kanan Utusan Malaysia, Hatta Wahari, yang juga Presiden NUJ, sebagai Ketua Pengarang akhbar berkenaan.
Menerusi satu laporan berita TV, Hishammuddin mempersoalkan apakah Nurul Izzah mahu diberi layanan istimewa dalam permohonannya itu. Bagi saya, mesej Hishammuddin itu mudah difahami dan ia seolah-olah dapat membayangkan nasib Utusan Rakyat, seperti juga kes-kes permohonan permit akhbar bebas yang lain.
Kelaziman di KDN, hanya menteri boleh memberikan "nafas" kepada akhbar-akhbar baru. Untuk permohonan menerbitkan majalah, timbalan menteri atau cukup dengan pegawai kanan KDN boleh meluluskannya.
Saya pernah menghantar puluhan permohonan menerbitkan tabloid politik hampir sepuluh tahun lalu. Saya tidak pasti sama ada KDN telah memproses permohonan itu memandangkan tiada jawapan yang saya perolehi. Bagi permohonan majalah, semuanya ditolak tanpa saya dipanggil untuk ditemuduga.
Seingat saya, permohonan pertama saya menerbitkan majalah dibuat pada 1989. Kebetulan seminggu selepas itu saya ditahan ISA. Penangkapan itu memudahkan KDN memberikan jawapan pasti dengan segera: Ditolak! Bagaimanapun, saya difahamkan ramai juga pemohon permit yang langsung tiada pengalaman kewartawanan dan juga dalam dunia penerbitan mendapat kelulusan mudah. Ada di kalangan mereka yang kemudiannya menyewakan permit itu kepada pihak lain.
Hishammuddin tidak perlu teragak-agak atau takut untuk memberikan permit kepada Utusan Rakyat. Dalam era kepesatan teknologi maklumat, masa dua bulan untuk memproses permohonan menerbitkan sebuah akhbar mingguan sudah cukup lama. Namun, yang lebih saya bimbang, permohonan Nurul Izzah itu hanya dipandang sebelah mata. Keputusan sudahpun dibuat sebelum permohonan diproses!
Malah, Hishammuddin sepatutnya lebih awal membenarkan Suara Keadilan diterbitkan semula. Menafikan hak sebuah parti politik -- yang mendapat sokongan besar dalam pilihan raua umum 2008 -- untuk menerbitkan lidah rasmi adalah sikap angkuh yang membelakangkan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan.
Apa pun, kita akan memerhatikan dari dekat dan dengan penuh minat, keseriusan Hishammuddin mengendalikan permohonan Utusan Rakyat ini. Nurul Izzah tentunya tidak menagih layanan istimewa; yang ditunggu rakyat adalah layanan adil dan saksama KDN, tanpa sebarang prejudis, sekurang-kurangnya memberikan pilihan kepada pembaca untuk mendapatkan akhbar (mingguan, bukan harian pun) yang lebih kredibel.
III.
Mengikuti kempen pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau tentunya tidak puas jika sekadar melayari internet atau membaca akhbar. Untuk mendapatkan gambaran sebenar, khususnya menyaksikan salahlaku jentera kempen BN oleh para menteri, memang seeloknya kita dapat turun ke lapangan. Namun, tidak semua mempunyai kesempatan seperti itu. Cara mudah adalah dengan menonton siaran berita TV.
RTM, yang dibiayai wang rakyat, secara tradisi menjadi alat propaganda BN. Sejak turun-temurun, Angkasapuri, menjadi markas atau bilik gerakan Umno pada setiap kali pilihan raya umum ataupun pilihan raya kecil. Tiada lain pertimbangan menterinya, iaitu semata-mata bagi memenangkan Umno-BN dan memburuk-burukkan siapa jua saingannya. Persetankan segala etika dan adab kewartawanan. Perkiraan akhirnya semata-mata mengekalkan kuasa BN atau merampas kembali kuasa di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
Mengalih siaran ke TV3, rupanya liputan lebih buruk dan menjengkelkan. "Apa bezanya TV3 dan RTM? Satu bekerja untuk Umno dan satu lagi untuk kerajaan BN," kata seorang teman, reaksi kepada rungutan saya terhadap laporan TV3 yang nampak semakin teruk mutakhir ini.
Menjelang hari-hari akhir kempen, saya perhatikan hampir 40 minit pertama siaran berita TV3 dipenuhi propaganda dakyah murahan BN, dan ditangani secara cukup primitif. (Sepatutnya strategis BN belajar menghasilkan propaganda yang baik dengan Allahyarham Yasmin Ahmad, yang terbukti cemerlang dalam pembikinan iklan komersil seperti Petronas). Tiada langsung berita nuetral, apatah lagi yang bersifat positif, untuk calon-calon PAS, malah gambar mereka langsung tidak kelihatan.
Tertanya-tanya juga penonton yang "betul-bendul", siapa sebenarnya yang bertanding dalam dua pilihan raya kecil berkenaan? Apakah BN telah menang percuma? Soalnya, kalau tiada pertandingan, kenapa pula perlu bersusah payah berkempen? Ini kerana hanya tertera di kaca TV gambar calon BN, seolah-olah tiada pencabarnya. PAS hanya menjadi punching bag dan tempat belasahan!
Sering saya ulangi, semasa dunia berubah pantas bersama proses pendemokrasian, Malaysia bukan saja tertinggal di belakang, malah kualiti kebebasan bersuara di bawah regim Najib Razak semakin merosot. Pengamal media berasa lebih tertekan di zaman Najib berbanding era Abdullah Ahmad Badawi. Self-censorship makin mencengkam.
Misalnya, program bual bicara TV9 yang popular dengan pengacara Dr Mohammad Agus Yusoff, Hujah, yang menemukan penalis daripada pelbagai latar belakang kini hilang serinya. Tetamu yang diundang sudah boleh ditelah pandangan mereka, sementalahan pula ia tidak lagi dipengerusikan Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
Memang ada percubaan Astro Awani, untuk menampilkan pembaharuan dan kelainan dalam pemberitaannya. Ia cuba menyiarkan bahan daripada pelbagai sumber, termasuk parti-parti pembangkang. Beberapa slot khas, selain berita, seperti Analisis Awani, Agenda Awani dan Sudut Pandang, boleh dipuji.
Bagaimanapun, Awani juga tidak terlepas daripada gangguan Jabatan Perdana Menteri. Penalis yang kerap dijemput ke studio, terutama untuk menganalisis keputusan pilihan raya kecil, Dr Abu Hassan Hasbullah, kini sudah "disenarai-hitamkan" atau "kena gam" oleh Awani.
Semasa menunggu keputusan langsung dari Merlimau, seorang wartawan kanan Awani (wanita) melaporkan, antara lain, yang lebih kurang maksudnya, "... kita ada berita gembira, calon BN bukan saja menang tetapi berjaya menambahkan majoriti ...." Saya kira lafaz spontan itu tidak dirancang tetapi ia boleh memberikan gambaran buruk kepada Awani sendiri. Ya, apa kena mengena "berita gembira" dengan kekalahan atau kemenangan bagi mana-mana calon yang bertanding?
Ramai kecewa dan marah dengan corak pemberitaan media penyiaran kita. Seperti kata seorang kawan rapat saya, rasanya mengulangi luahan rasa seorang penceramah PAS: "Kalau TV itu murah harganya, entah berapa kali aku tendang terajangnya!"
Sengaja saya ingatkan balik tuntutan Bersih, NGO bagi pilihan raya adil dan bersih mengenai media, iaitu: Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi BN; peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta; peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.
Selama mana kita harus diperbodohkan dan menelan saja sampah-sarap yang dihidangkan TV kita?
//Ahmad Lutfi Othman - pengarang Harakah
No comments:
Post a Comment