Pendekatan yang digunakan amat baik dan mampu menarik golongan muda untuk sama-sama menunaikan solat sunat tarawih.
Pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV , Kota Bharu Kelantan, sekali lagi menjadi tumpuan umat Islam untuk menunaikan solat sunat tarawih sempena Ramadan ini.
Tinjauan malam tadi mendapati, lebih 1,000 umat Islam terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan golongan tua membanjiri khemah besar yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi menunaikan solat Isyak seterusnya bertarawih.
Pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Tengku Muhammad Azreen Tengku Daud, 19, menyambut baik pendekatan yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan itu bagi menarik golongan remaja menghayati kelebihan Ramadan.
“Selaku remaja, saya melihat pendekatan yang digunakan amat baik dan mampu menarik golongan muda untuk sama-sama menunaikan solat sunat tarawih di sini.
“Selain itu, ia dapat menonjolkan kepada golongan belia bahawa solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan kita berusaha untuk melakukannya dan ini membuktikan bahawa ajaran Islam itu sebenarnya mudah untuk diikuti jika ada keikhlasan dalam diri,” katanya.
Tengku Muhammad Azreen memberitahu, terdapat sedikit perbezaan apabila menunaikan solat di sini, ditambah pula imam didatangkan khas dari Asia Barat dengan bacaan yang merdu dan jelas mampu memberikan suasana seperti di Tanah Suci.
“Gaya penyampaian imam tersebut mampu menyentuh hati setiap jemaah yang bertarawih di situ,” jelasnya.
Bagi Saddam Ismail, 20, pula, teruja melihat suasana solat tarawih di pekarangan stadium itu walaupun ia merupakan malam pertama.
“Berdasarkan sambutan yang diberikan saya mencadangkan kepada pihak penganjur supaya menambah bilangan khemah bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Pada pemerhatian saya, suasana begini mampu memberikan semangat kepada para pengunjung untuk terus berkunjung ke sini dan seterusnya menghidupkan suasana Ramadan,” katanya.
//utusan.com.my
No comments:
Post a Comment