Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat mengerjakan ibadah Puasa yang bermula hari ini 1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432H. Terima kasih diucapkan kepada sahabat terutamanya pengunjung blog 'Wacana Minda'. Semoga ibadah puasa yang bakal kita semua tunaikan selama sebulan ini akan diterima dan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah SWT... insyaAllah.
Allah berfirman bermaksud: "Hai orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa."(Surah Al-Baqarah, ayat 183).
Ada beberapa peringkat harus diberi perhatian supaya termasuk dalam golongan puasa terbaik. Ini diingatkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya bermaksud: Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa balasan melainkan lapar dan dahaga.
Peringatan ini jelas menunjukkan kita perlu berpuasa seperti dikehendaki Islam supaya mendapat balasan Allah seterusnya menjadikan kita orang bertakwa.
Puasa peringkat pertama, puasa orang awam yang sekadar menahan diri daripada makan, minum dan tidak melakukan persetubuhan ketika siang. Namun pancaindera lain seperti mata, telinga, tangan, kaki, mulut, pemikiran dan lebih penting hati tidak dipelihara malah berlipat ganda melakukan perkara negatif yang mengurangkan pahala.
Puasa peringkat kedua ialah puasa ahlul khusus iaitu mereka menahan diri daripada makan, minum dan tidak mengikuti kemahuan syahwat serta menjaga anggota zahir lain daripada perbuatan yang keji. Namun mereka lalai mengingati Allah. Jasad saja yang berpuasa tetapi unsur terpenting iaitu hati mereka abaikan sehingga terus alpa terhadap Allah.
Puasa peringkat ketiga dan terbaik ialah puasa ahli khusus/ahlul ma�rifah iaitu mereka meninggalkan semua perkara di atas di samping menjaga hati supaya tidak lalai mengingati Allah. Segala amalan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Inilah martabat ibadah puasa nabi dan sidikin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah.
Sama2lah kita berusaha mendapatkan puasa peringkat terbaik.. kerana puasa sempurna dapat melahirkan insan muttaqi iaitu modal insan yang amat bernilai dan mampu berkhidmat untuk agama Allah dengan penuh penghayatan dan mereka adalah aset penting bagi pembangunan mapan ummah masa kini dan masa depan.
Firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185.
Rasulullah SAW juga bersabda :
رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah
Sekali lagi saya menyeru diri saya dan sahabat semua agar menjalani ibadah puasa tahun ini dengan bersungguh2 dan penuh khusyuk serta sepanjang Ramdhan disi dengan segala macam ibadah yang khusus dan yang terbaik.. banyakan bersedekah, membaca alQuran, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT.
Harapan juga semoga Ramadhan kali ini penuh makna dan jauh lebih baik dari Ramadhan yang lepas... sebualan kita berada di workshop Ramadhan pastinya bila keluar nanti ada perubahan pada diri kita.. insyaAllah..
" Celakalah orang yang diberi kesempatan berjumpa dengan Ramadhan namun ia tidak mendapat ampunan " ( Hr. Tirmidzi )..
Sekian, selamat berpuasa..
Amin
No comments:
Post a Comment