Wednesday, August 24, 2011

Mencari Laila...

BULAN Ramadan adalah tempoh waktu selama 30 hari yang penuh keberkatan di mana ALLAH SWT meluaskan rahmat-Nya supaya menaungi seluruh hamba-Nya yang taat beribadat dengan pemberian ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Lebih menggembirakan, di antara malam-malam Ramadan terdapat satu malam yang disebut Lailatulqadar, malam yang penuh keberkatan dan kebaikan malam dinyatakan dalam al-Quran bahawa ia adalah malam lebih baik daripada 1,000 bulan sama dengan 83 tahun empat bulan.

Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih ALLAH sebagai malam permulaan permulaan limpahan cahaya agama ke seluruh alam selain limpahan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat ALLAH ke atas hati dan kehidupan manusia.




Beruntunglah bagi mana-mana umat Islam yang dapat mengerjakan ibadat sepanjang malam Lailatulqadar dan hal ini dinyatakan menerusi Surah al-Qadr.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: 'Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran Lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibrail turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).


Berhubung makna Al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran, turunnya para malaikat, limpahan rahmat dan keampunan ALLAH.

Malah Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Justeru, Lailatulqadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya.



Bilakah malam Lailatulqadar?




Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kami, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada ALLAH SWT.” (Riwayat Ibnu Majah).

Oleh itu, mengenai tarikh sebenar malam berkenaan, para ulama sendiri tidak mempunyai kesepakatan. Bagaimanapun, kesemua ulama bersetuju bahawa Lailatulqadar hanya berlaku pada bulan Ramadan, khususnya pada sepuluh malam terakhir.

Sabda Rasulullah SAW: “Carilah (lailatulqadar) pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah Dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” (Riwayat Muslim).

Dalam sabdanya yang lain baginda SAW menyebut: “Sesungguhnya ALLAH telah memberikan kepada umatku Lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka.” (Riwayat Ad Dailani).

Justeru Nabi Muhammad menggalakkan kita dan ahli keluarga menghidupkan malam Lailatulqadar dengan amal ibadat. Rasulullah sendiri sering meningkatkan peribadatannya khususnya pada 10 hari terakhir dari bulan berkenaan. Bahkan keluarganya dibangunkan seterusnya diajak memperbanyakkan amal di tengah malam.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah berjaga pada malam 23, 25 dan 27, dan disebutkan bahawa ia mendoakan keluarga dan isterinya khususnya pada malam ke-27.

Pengalaman mendapatkan Lailatulqadar adalah sebuah pengalaman spiritual yang paling puncak bagi orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyempurnakan keimanannya.

Maka, setiap orang Islam perlu melakukan ibadah secara bersungguh-sungguh sepanjang kehidupannya bagi mendapatkan keberkatan.

Kemanisan keimanan akan menjadi berlipat ganda sekiranya manusia itu mampu meraih malam Lailatulqadar.

Sekiranya kita ingin mendapatkan Lailatulqadar, kita seharusnya dapat melakukan ‘kiam’ Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan, hidupkan suasana ingin belajar (taklim) sepanjang masa, siang dan malam dengan beribadah, zikir, solat sunat dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran.

- MOHD FIRDAUS YON sinarharian.com.my

No comments: