Monday, August 22, 2011
Persada rai anak yatim dan ibu tunggal
Seramai 20 orang anak yatim dan 9 orang ibu tunggal diraikan didalam program Iftar Amal PERSADA 2011 meraikan anak-anak yatim dan ibu tunggal (armalah) dari PPR Muhibbah, Puchong Selangor di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 20 Ogos lepas.
Program yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (PERSADA) ini merupakan program tahunan yang diadakan setiap kali bulan Ramadhan. Tahun ini merupakan tahun ke 3 diadakan dengan mendapat kerjasama penuh tokoh-tokoh koperat dan para penderma yang budiman.
Anak-anak yatim dan armalah ini diraikan dalam majlis berbuka puasa di Hotel Vistana, Kuala Lumpur selain disumbangkan sedikit wang perbelanjaan membeli barang keperluan hari raya.
Setiausaha Persada yang juga pengarah program tersebut berkata, program itu bertujuan bagi menggembirakan anak-anak yatim agar mereka juga berasa gembira seperti mana kanak-kanak biasa yang mempunyai ibu bapa, lebih-lebih menjelang hari raya.
“Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim ini apabila diraikan dalam satu majlis yang agak asing bagi mereka” ujarnya.
Program dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tumpat Kelantan, Datuk Kamaruddin Jaafar yang menggantikan Exco Kelantan Datuk Husam Musa. Turut hadir sama YB Siti Zailah Yusof MP Rantau Panjang Kelantan, penyumbang derma, media dan para tetamu jemputan.
"Melalui pendekatan seperti ini, masyarakat terutamanya anak Kelantan diLembah Kelang dapat mengenali Persada dengan lebih dekat dan bersama-sama kita. Disamping itu juga kita mahu dikenali sebagai persatuan yang mengutamakan kebajikan dan kemasyarakatan sebagai agenda utama kita." ujarnya lagi.
Semoga program Persada ini mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment