Kasih sayang anak kepada ibu bapa berpanjangan hingga ke alam barzakh..
IBU bapa adalah insan paling mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya.
Mereka yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak. Ingat apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga adalah hasil pengorbanan ibu bapa. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat serta pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. Sehubungan itu, sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu sudah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka jangan engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan
‘ah’ dan jangan engkau menengking mereka, tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkan dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakan: Wahai Tuhanku! Kasihani mereka berdua seperti mana mereka sudah memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Israk, ayat 23-24)