Thursday, May 19, 2011

STADIUM BARU KELANTAN BAKAL DIBINA


Semua pihak menyambut baik hasrat dan cadangan Kerajaan negeri Kelantan untuk membina sebuah kompleks sukan yang turut memuatkan beberapa ruang solat bagi membolehkan penonton menunaikan tanggungawabjawab selain beriadah melalui kegiatan sukan.

Menurut Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kompleks sukan itu akan dibina di Bukit Merbau, Pasir Putih. Selain membina kompleks sukan yang akan memuatkan sebuah stadium utama, jelas Nik Aziz ia turut memuatkan ruang solat di beberapa bahagian stadium bagi memastikan penonton tidak lupa tanggungjawab masing-masing.

"Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanah air di mana kerajaan negeri Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini.


"Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, selain itu kita juga berhasrat agar stadium yang dibina turut memuatkan ruang solat di merata-rata bahagian bagi membolehkan penonton menunaikan solat dengan mudah dalam stadium," kata Nik Aziz dalam satu kenyataan.

Jelas Nik Aziz pentadbiran negeri pimpinannya tidak akan melupakan tanggungjawab terhadap tuntutan agama dan berharap penonton juga sentiasa begitu.

"Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh membangun bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

No comments: