Wednesday, May 11, 2011

Sejarah Bachok - Bandar Pelancongan Islam

Bachok merupakan salah satu daripada 10 jajahan pentadbiran negeri Kelantan yang terdiri daripada: Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Bandar Bachok terletak di sebelah barat daya, lebih kurang 35 kilometer dari Kota Bharu.


Tempat ini lebih dikenali sebagai perkampungan nelayan dengan pantainya yang menarik diantaranya yang terkenal ialah Pantai Irama, Pantai Kandis, Pantai Kemayang, Pantai Melawi dan Pantai Pengkalan Pateh.

Pada masa dahulu sejumlah orang Siam telah datang ke Bachok dan menetap di situ sebagai nelayan. Di antara kampung orang Siam yang terkenal di Bachok ialah Kampung Aril.

Nama Bachok dikatakan berasal dari dua perkataan Siam iaitu Ban dan Choh. Ban bererti kampung dan Choh pula bermakna jala/jaring untuk menangkap ikan. Orang Siam memanggil tempat itu Ban Choh kerana mata pencarian penduduknya tertumpu kepada menangkap ikan. Sebutan Ban Choh akhirnya bertukar menjadi Bachok mengikut loghat Kelantan.


Kononnya pada zaman dahulu kala terdapat sebuah batu menyerupai seekor burung yang seakan-akan sedang terbang dari laut di tepi pantai sepanjang kira-kira 2 kilometer itu. Tempat di mana batu yang dikatakan wujud kini dikenali sebagai Kampung Tok Burong.



Masyarakat dahulu kala di sini juga percaya mengenai cerita kononnya wujud sebuah kemudi emas yang timbul dipermukaan air di pantai itu bersama-sama seekor buaya putih. Menurut cerita, buaya putih sakti itu telah mengambil seorang budak perempuan di situ untuk dijadikan anak angkatnya sehingga dewasa.

Kerana sayangnya yang tidak terhingga, buaya putih itu sentiasa memberi berupa barang-barang kemas kepada budak perempuan itu. Tempat di mana berasalnya cerita dongeng itu kini dikenali sebagai Kampung Seri Kemudi.

Pantai Irama juga menyimpan sejarah pahit tanahair kerana menjadi salah satu tempat pendaratan utama tentera Jepun di Tanah Melayu pada zaman Perang Dunia Kedua dahulu dan kesan yang masih boleh dilihat ialah beberapa buah kubu tentera inggeris yang masih terdapat di situ.

No comments: