Wednesday, June 25, 2008

Bantulah Saya - Lima tahun hidup derita


KUALA LUMPUR: "Bantulah saya...saya sudah tidak tahan selama lima tahun hidup menderita di sini (Pajarakan, Jawa Timur) bersama suami 'kaki judi' hanya tahu mengamuk meminta wang hampir setiap hari," itulah rintihan Julia Rashid, 27, merana diperdaya suami sendiri, warganegara Indonesia yang pernah bekerja di negara ini.

Menurut Julia, kehidupannya di Pajarakan bersama lima anak cukup menderita apatah lagi saban hari dia terpaksa mencari nafkah dengan meminta sedekah di masjid dan jiran yang simpati dengan nasib mereka untuk menampung hidup serba daif.

Lebih perit, wang hasil derma itu turut digunakan suami yang tidak bekerja untuk dihabiskan di meja judi bersama rakannya dan dia akan dipukul jika enggan menuruti keinginan suaminya, Maksum Wiranto, 36.

Penderitaan wanita malang itu bermula apabila dia terpaksa berkahwin pada usia 14 tahun ketika masih belajar di Sekolah Menengah Jalan Peel di sini, selepas dihamilkan lelaki terbabit yang bekerja sebagai buruh binaan di negara ini.

Bagaimanapun, bagi menutup malu, arwah bapanya, Rashid Embong mengahwinkan Julia dengan Maksum yang berjiran ketika tinggal di penempatan setinggan Kampung Pasir, Hulu Klang.

Arwah bapa Julia enggan membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.

Selepas memperoleh lima anak, Julia diperdaya apabila diajak suaminya ke Indonesia pada 2003, kononnya untuk bertemu ibu mentua yang ingin melihat menantu serta cucunya dan ketika itu, lelaki terbabit berjanji mereka hanya akan tinggal di sana selama dua bulan.

Namun, janji hanya tinggal janji apabila Julia bersama lima anaknya terus menetap di sana hingga sekarang dan hidup menderita apabila sering dipukul dan tidak mempunyai pekerjaan sehingga terpaksa meminta sedekah bagi mencari sesuap nasi untuk menggalas perutnya dan anak-anak.

Kehidupannya sepanjang perkahwinan bukannya membawa kebahagiaan, malah hampir setiap hari disulami dengan pukulan demi pukulan termasuk dihentak dengan lesung batu oleh suami sendiri.

"Kejadian saya dipukul berlaku hampir setiap hari bukan saja di sini (Pajarakan), malah ketika di Malaysia pun saya diperlakukan seperti objek tidak bernyawa," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, dia bersama lima anak mengikut suami pulang ke Indonesia menaiki kapal melalui Johor dan terpaksa menempuh perjalanan selama seminggu sebelum dijemput keluarga sebelah suami di Surabaya.

"Sejak menjejakkan kaki ke sini (Pajarakan), hidup saya dan anak-anak hanya mendapat bantuan daripada orang kampung selain hasil meminta derma di masjid," katanya.

Menurut Julia, dia sudah lama menderita dan seboleh-bolehnya mahu pulang ke tanah air.

"Hanya Tuhan yang tahu betapa saya rindukan emak, manakala anak-anak pula rindukan nenek mereka yang kini berada di Hulu Klang," katanya sebak.

Sementara itu, wakil Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Migrant Care), Alex Ong, yang mendedahkan kisah Julia kepada wartawan Harian Metro, berkata pihaknya akan berusaha menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Indonesia dan Wisma Putra untuk membawa enam beranak itu pulang ke negara ini.


Dipanjangkan oleh sahabatku:

Alex Ong
Migrant CARE
Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat
(Member of Migrant Forum in Asia and International NGO
Platform on Migrant Workers' Convention)

Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati,
Jakarta Timur 13220 Indonesia
Telp/Fax: +62 21 4752803
E-mail: alexmigrantcare@gmail.com
migrantcare@nusa.or.id
Website: www.buruhmigranberdaulat.blogspot.com

25.06.2008

No comments: