Monday, June 23, 2008

FITNAH...

Fitnah merupakan suatu sifat yang amat keji dan boleh mendatangkan kesan yang amat buruk kepada diri sendiri dan terhadap orang lain. Fitnah boleh di ertibahasa seseorang yang menyampaikan keburukan orang lain di kalangan orang ramai dengan tujuan supaya mereka membenci atau memusuhinya.

Fitnah boleh berlaku di mana- mana terhadap orang lain kerana didorong oleh perasaan irihati, kurangnya iman dan lemah iman dan jiwanya kotor.Justeru itu perbuatan fitnah tergolong sifat munafik dan dosa besar dalam Islam kerana boleh menjatuhkan keaiban seseorang dan menghalangnya dari berbuat kebajikan.

Firman Allah: "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela yang kian kemari menyebar fitnah, yang banyak menghalang berbuat baik yang melampaui batas lagi banyak dosa." (Al- Qalam: 10 - 12)
Firman Allah: "Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakitnya dan bagi mereka seksa yang pedih di sebabkan mereka berdusta." (Al- Baqarah: 10)


Perbuatan fitnah lebih berbahaya daripada pembunuhan kerana boleh menyebabkan masyarakat hilang rasa kasih sayang dan mencetuskan permusuhan.
Firman Allah: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan." (AL- Baqarah: 191) & Firman Allah: "Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh." (Al- Baqarah: 217)

Dalam Islam melindungi kehormatan atau menjaga nama baik seseorang adalah dituntut agar dapat menjaga hak dan kebajikan orang lain selamat dari murka Allah. Justeru itu perbuatan fitnah antara sesama Muslim akan mendapat balasan yang buruk dari Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah: "Sesungguhnya orang- orang yang menuduh (memfitnah) wanita- wanita yang baik lagi beriman berzina, mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan bagi azab yang besar." (An- Nur: 23)

Sabda Rasulullah S.A.W: "Seburuk- buruk hamba Allah iaitu orang yang berjalan ke sana ke mari dengan fitnah yang memecahbelahkan antara kekasih yang suka mencari kecacatan orang- orang yang baik." (HR: Ahmad)
Rasulullah S.A.W bersabda: "Tidak akan masuk syurga yang membawa fitnah." (HR: Bukhari dan Muslim dari Huzaifah)


Oleh kerana bahaya fitnah boleh mengancam kesejahteraan, maka umat Islam hendaklah sentiasa berhati- hati dan jangan mudah terpedaya dengan fitnah yang dibawa atau diterima.
Firman Allah: "Wahai orang- orang yang beriman apabila datang kepadamu orang fasik yang membawa berita (fitnah) maka perhatikanlah dengan teliti (kebenarannya)." (Al- Hujurat: 6)

PETIKAN DARI : http://www.mymasjid.net.my

No comments: