Friday, June 13, 2008

Bertuahnya Abang Bakar


KUALA TERENGGANU: “Saya bersyukur selepas selamat diijabkabul malam ini walaupun pada peringkat awal bercadang melangsungkan majlis pada 22 Jun,” kata Suhaili Alias, 24, yang selamat dinikahkan sebagai isteri keempat broker tanah, Abu Bakar Embong, 49, malam tadi.

“Saya menganggap perkenalan dengan abang kira-kira tiga bulan lalu seterusnya melangsungkan pernikahan malam ini sebagai jodoh dan ketentuan Allah. Perkenalan kami umpama cinta pandang pertama dan saya tertarik dengan abang kerana wajahnya yang manis,” katanya ketika ditemui di rumah Abu Bakar di Kampung Teluk Menara, Manir, lewat malam tadi.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui berkata, dia selamat melangsungkan pernikahan dengan isteri keempatnya itu selepas solat Isyak kira-kira jam 9 malam sebaik menerima surat kebenaran bernikah daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) kira-kira jam 3 petang.

Pasangan itu yang mengenakan baju kuning sedondon selamat dinikahkan di rumah seorang kenalan pengantin lelaki di Bukit Payung, Marang dengan disaksikan ketiga-tiga isteri Abu Bakar serta ahli keluarga pengantin perempuan.

Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan Abu Bakar menyerahkan wang hantaran RM7,000 selain sebentuk cincin dan satu persalinan pakaian kepada pengantin perempuan.

Abu Bakar mempunyai tiga lagi isteri iaitu Asnah Jusoh, 43 (isteri pertama), Mazumi Ismail, 45, (isteri kedua) dan isteri ketiga, Norazlina Ariffin, 25.

Dia kini mempunyai 25 anak dan tiga cucu yang tinggal berhampiran di Kampung Teluk Menara, Manir di sini.

No comments: