Thursday, July 31, 2008

LRT rosak -170 Ribu warga kota terkandas

KUALA LUMPUR: Lebih 170,000 warga ibu kota terkandas apabila perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang digunakan untuk urusan seharian mengalami masalah teknikal, semalam 29 Julai.

Kebanyakan pengguna kecewa kerana perkhidmatan yang tergendala itu menjejaskan urusan harian, terutama mereka yang hendak ke tempat kerja.

Seorang pelajar institusi Pengajian Tinggi (IPT), Saranpal Singh Chabbra, 19, berkata masalah itu menyebabkan masanya terbuang kerana perlu menunggu lebih satu jam untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

Katanya, masalah itu tidak sepatutnya berlaku dan pihak pengurusan LRT perlu memastikan ia berada dalam keadaan sempurna dengan mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa.


“Sepatutnya pihak LRT melakukan pemeriksaan terlebih dulu supaya masalah dapat dikesan lebih awal dan jangan menunggu ketika perkhidmatan hendak dimulakan baru tindakan diambil.


“Ini menyebabkan pengguna yang bergantung dengan perkhidmatan itu terjejas lebih-lebih lagi jika hendak pergi ke tempat kerja atau ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari Britain, William, 30, berkata dia kecewa kerana lawatannya ke sekitar Taman Rekreasi Tasik Perdana terlewat mengikut rancangan yang diatur.

William yang baru sampai ke negara ini kelmarin bersama isterinya, Sarah William, berkata ia berikutan terpaksa menunggu lama untuk mendapat tren selain masalah tren yang bergerak terlalu lambat.

“Kelewatan tren menyebabkan kami terlewat melawat beberapa tempat seperti yang dirancangkan. Bayangkan masa satu jam diambil dari Stesen KLCC untuk ke Pasar Seni.

“Saya amat kecewa dengan masalah ini kerana menyangka ia menawarkan perkhidmatan yang lebih selesa, cepat dan murah, tetapi menjadi sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), Ebi Azly Abdullah, berkata masalah itu berpunca daripada sistem laluan antara stesen LRT Gombak dan Stesen LRT Setiawangsa yang mengalami masalah, hingga menjejaskan sistem pemanduan automatik seterusnya menyebabkan sistem keselamatan gagal berfungsi.

No comments: