Tuesday, July 8, 2008
Rakyat Kelantan Bakal Nikmati NGV Dan LPG Lebih Murah
KOTA BAHARU -- Kerajaan negeri Kelantan mendapat tawaran daripada negara luar untuk mengimport bahan api NGV (gas asli bagi kenderaan) dan LPG (gas petroleum cecair) dengan harga yang lebih murah sebagai langkah meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata pihak pengeluar bahan api itu bagaimana pun telah meminta kerajaan negeri supaya mendapatkan permit import (AP) dan kerajaan negeri perlu mendapatkannya dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Jika perlu kita akan membuat demonstrasi kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mendapatkan AP itu," katanya semasa sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri ke-12 di sini hari Isnin.
Katanya empat buah syarikat telah dipilih untuk menjayakan program itu dan jika ianya berjalan lancar, program penggunaan bahan api itu akan diperluaskan ke empat negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Sebelum permohonan AP itu dibuat, katanya pihaknya akan terlebih terdahulu berunding dengan Petronas untuk membekalkan bahan api tersebut ke negeri itu.
Namun, jika pihak petronas tidak mahu turut serta dalam program itu maka barulah kerajaan negeri akan memohon AP.
Dengan penggunaan NGV dan LPG itu, katanya kerajaan negeri akan melaksanakan program pemasangan tangki untuk kereta sewa dan kakitangan awam.
"Kita akan menyediakan skim bayaran secara ansuran untuk meringankan beban mereka. Dengan penggunaan bahan api itu ianya akan menjimatkan kos serta tidak membebankan pengguna," katanya.
--BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment